Monday, November 22, 2010

Muhammad Al-Fateh

Bicara hati Norhidayah Bte Hamdan [Syauqah Mujahidah]
www.ululalbab286.wordpress.com

Bismillahirahmannirahim. Dengan nama Allah swt , Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. Salam sayang bersulam rindu buat pejuang terulung , Muhammad bin Abdullah. Dan salam perjuangan buat kalian yang singgah di laman ini.

Alhamdulillah. Hari tamat sudah pembacaan ana berkenaan seorang lagi tokoh pejuang islam yang terkemuka iaitu Muhammad Al-Fateh. Sememangnya sejak kecil ana suka membaca sirah-sirah para Nabi dan sahabat. Pada pandangan ana , banyak ibrah yang boleh kita kutip dari kisah mereka ini. Ana jadi kagum bila membaca kisah pejuang-pejuang islam ini. Terlihat jelas kesungguhan mereka dalam mempertahankan agama Allah swt ini. Sanggup syahid demi agama Allah swt ini.

Kembali semula kepada Sultan Muhammad Al-Fateh ini. Siapakah Muhammad Al-Fateh ? Ana yakin mungkin ramai yang pernah mendengar namanya dalam sirah-sirah yang terdahulu.

Nabi saw pernah bersabda :

” Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin , dan pasukan yang berada dibawah pimpinannya adalah sebaik-baik pasukan dan rakyatnya baik”

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Bermula dari zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, Khalifa Al-Rasyidin yang ke-4 , kemudian Muawiyah pula mencubanya pada tahun ke 84 Hijrah , dan usaha itu disambung oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun 91 Hijrah.Semua usaha itu menemui kegagalan. Namun tidak terhenti setakat disitu saja dimana Khalifah Harun Ar-Rasyid cuba untuk menaklukinya pada tahun 165 Hijrah dan akhirnya diusahakan oleh Sultan Murad [ayahanda Sultan Muhamad Al-Fateh] pada tahun 825 Hijrah,namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Lebih 800 tahun yang lalu , Nabi saw menuturkan hadith tersebut,belum lagi menampakkan kesahihannya.

Ketika Nabi Muhammad saw menuturkan hadith tersebut , ramai pemimpin-pemimpin Islam yang bercita-cita dan berharap agar hadith tersebut akan menjadi kenyataan ketika dibawah pemerintahan mereka , namun semuanya tidak berlaku.Kita perlu ingat bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah ahli nujum atau tukang tilik TETAPI apa yang Baginda saw sabdakan pasti aka benar-benar berlaku kerana Baginda saw mendapat wahyu dari Illahi.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 250,000 orang tenteranya.Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

Muhammad Al-Fateh telah menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Murad ketika baginda berumur 19tahun. Masih terlalu muda bukan ? Jika zaman sekarang ini , Sultan berumur 19 tahun , pasti akan timbul pelbagai spekulasi dengan mengatakan sultan masih mentah dan tidak mampu utk mentadbir negara. Namun tidak bagi sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda seorang yang fasih bertutur dalam 7 bahasa [ Arab, Greek , Latin , Serbia , Parsi , Turki , dan Hebrew]. Baginda seorang yang bersifat tawadhuk , dan sangat cintakan ilmu. Baginda tidak pernah sekalipun meninggalkan solat 5 waktu , Solat Rawatib dan solat tahajud. Baginda juga sentiasa berbincang dengan para ulama tentang permasalahan negara.

Sultan Muhamad Al-Fateh mengkaji sejarah dan kelemahan Kota Konstantinopel dan merangka strategi bagi menakluk kota tersebut. Baginda telah melakukan pelbagai usaha dengan memastikan tentera yang dipilih adalah dikalangan yang taat pada Allah dan Rasul , membina peralatan perang dan juga baginda memastikan rakyat yang berada di bawah pimpinannya adalah rakyat yang baik.

Sultan Muhamad Al-Fateh banyak mencontohi cara Nabi Muhamad saw berperang. Salah satunya , baginda mengarahkan tenteranya pergi ke Kota Konstantinopel dari jalan yang belum pernah dilalui oleh sesiapa. Ketika Nabi Muhammad saw menakluk Kota Mekah , baginda saw dan tenteranya juga mengikut jalan yang tidak dilalui oleh orang ramai. Sultan Muhammad Al-Fateh juga sering meninjau keadaan rakyatnya secara sembunyi-sembunyi atau menyamar seperti rakyat biasa , sama seperti yang pernah dilakukan oleh Saidina Umar.

Dan bersama bala tenteranta seramai 150,ooo orang , sultan Muhammad Al-Fateh telah menggempur Kota Konstantinopel selepas Maharaja Konstantinopel enggan menyerah kalah. Dan akhirnya pada 29 Mei 1453 , Kota Konstantinopel telah berjaya ditawan.

Sultan Muhammad Al-Fateh telah menukar nama kota Konstantinopel kepada ISTANBUL lalu menjadikan ibukotanya. Ketika zaman pemerintahannya , baginda telah memerintah 25 buah negeri antaranya Italia , Hungary , Jerman , Serbia , dan Bosnia. Dan ketika baginds sedang membuat persiapan untuk menakluk Rhodesia , Baginda telah diracun oleh doktor peribadinya sendiri ,Yakop Pasya yg pada asalnya seorang Yahudi kemudian telah memeluk Islam. Ketika Baginda tahu baginda sudah hampir dijemput malaikat maut , baginda sedikit pun tidak mendedahkan kepada puteranya siapa yang meracunnya walaupun baginda tahu siapa yang meracunnya. Subhanallah..!! Alangkah indahnya pekerti baginda. Langsung tiada sekelumit perasaan dendam atau mahu membalas dendam kepada insan yang meracunnya. Dan selepas Sultan Muhamad Al-Fateh berwasiat kepada puteranya , baginda pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu baginda berusia 49 Tahun.

Bila membaca kisah pejuang islam ini , ana sangat kagum pada kebijaksaannya dalam mengatur strategi untuk memerangi musuh. Kesanggupannya berjihad demi Agama Allah dan syahid demiNya. Tokoh atau pejuang agama seperti ini lah yang kita perlu terapkan dan ceritakan pada adik-adik kita , anak-anak kita. Bukannya kisah-kisah perjuangan Power Rangers ,Ultraman , Spiderman dan sebagainya yang sememangnya terpesong dari akidah Islam itu sendiri. Kadang kala watak-watak seperti inilah yang membuatkan adik-adik kita, anak-anak kita melupakan tooh-tokoh Islam dan pejuang-pejuang Islam ini.Semoga Allah memberi keampunan , keredhaan serta melimpahkan rahmatNya kepada Sultan Muhamad Al-Fateh. Al-Fatihah.

“Dari Allah,kepada Allah”